Powered By Blogger

Monday, December 26, 2011

MAILAKAT MAUT Menziarahi Kita SETIAP 21 Minit

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a ,

bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail:

Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan Ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan

Mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

1 hari = 24 jam = 1440 minit

1440 minit / 70 = 20.571 minit

Ini bermakna MAILAKAT MAUT menziarahi kita SETIAP 21 minit.

Renung-renungkanlah...... Wallahualam

Ilusi Perpaduan Dalam Islam




Sering kali, isu banyak mazhab dan perbezaan amalan antara gereja-gereja Kristian dibangkitkan sebagai alasan mengapa agama Islam ialah agama yang benar. Logik di sebalik kesimpulan ini ialah bahawa agama yang benar dari Allah yang esa adalah agama yang mempunyai kesatuan dan perpaduan ummah. Bersandarkan fahaman ini, Islam banyak kali dipaparkan sebagai agama yang mempunyai ajaran yang jelas dan umat yang bersatu padu manakala umat Kristian digambarkan sebagai berpecah-belah dan mempunyai ajaran-ajaran yang bertentangan. Namun, apabila fakta-fakta sebenar dikemukakan, adalah jelas pandangan-pandangan tersebut jauh berbeza daripada keadaan sebenar. Artikel ini adalah satu usaha sederhana untuk membawa satu perspektif yang lebih seimbang kepada isu kesatuan dan perpaduan dalam Islam dan Kristian.

Mazhab-mazhab dan Perbezaan Pendapat Dalam Islam

Islam bukan satu kesatuan yang kukuh. Sejarah Islam dan komposisi Islam hari ini menjadi saksi kepada kenyataan saya ini.

Perpecahan yang pertama terjadi kira-kira 29 tahun selepas wafatnya Muhammad. Perbezaan pendapat mengenai siapa dan bagaimana khalifah baru harus dipilih telah memecahkan orang Islam kepada beberapa kumpulan. Perpecahan ini juga menyebabkan terjadinya perpecahan akidah dan aliran pemikiran dalam Islam. Kumpulan-kumpulan yang terhasil saling kafir-mengkafiri atau sekurang-kurangnya menganggap kumpulan lain sebagai munafik.

Dua aliran utama telah timbul dari perpecahan ini dan masih wujud hingga hari ini:

Syiah

Pengaruh kumpuan ini tertumpu di Iran dan Iraq. Mereka merupakan pengikut-pengikut 12 Imam yang merupakan keturunan Muhammad dan percaya bahawa hanya keturunan Muhammad sahaja yang berhak memimpin umat Islam. Mereka menganggap Ali bin Abu Talib sebagai khalifah pertama yang sah dan walaupun Imam keturunan Muhammad yang terakhir telah hilang tanpa meninggalkan kesan, mereka percaya dia akan kembali pada akhir zaman sebagai Imam Mahdi. Untuk sementara waktu, kepimpinan umat Syiah disandang oleh para ulama Syiah.

Golongan Syiah juga terbahagi kepada beberapa aliran yang berlainan – terdapat perbezaan pendapat tentang silsilah Imam-imam yang sah dan sifat Khalifah Ali bin Abu Talib.

Pada amnya ajaran Syiah tidak diterima oleh orang Islam Sunni kerana dianggap terpesong dan tidak tepat pada Islam yang asli.

Kedudukan golongan Syiah dalam Islam mirip kedudukan golongan Roman Katolik dalam agama Kristian. Kedua-duanya menekankan isu-isu kepimpinan umat.

Sunni

Perkataan sunni bermaksud pengikut-pengikut Al-Sunnah (Al-Hadis). Aliran ini merupakan kumpulan Islam yang terbesar.

Berbeza dengan golongan Syiah, persoalan utama kumpulan ini ialah bagaimana kepemimpinan Islam harus dijalankan, sama ada berdasarkan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis atau tidak. Penekanan mereka adalah kepada prinsip-prinsip Al-Quran dan Al-Hadis sebagai autoriti yang tertinggi dalam Islam.

Golongan Sunni ini pula terpecah kepada empat mazhab:

1. Hanafi – pengasasnya Imam Abu Hanifah Numan bin Thabit yang berasal dari Iraq. Mazhab yang paling liberal ini mempunyai pengikut di tempat-tempat seperti Turki, Pakistan, Afghanistan, Cina dan Rusia.

2. Maliki – pengasasnya Imam Malik bin Anas dari Madinah. Dia terkenal kerana karyanya yang berjudul Al-Muwatta. Pengaruh mazhab ini mencapai tempat-tempat seperti Utara Afrika dan Kuwait.

3. Shafi’i – diasaskan oleh Imam Muhammad Idirs al-Shafi’i yang juga dikenali sebagai Bapa Perundangan Islam. Mazhab yang terbesar ini menumpukan pengaruhnya ke tempat-tempat seperti Palestin, Mesir, Arab Saudi, India dan Asia Tenggara.

4. Hambali – diasaskan oleh Imam Ahmad bin Muhammad bin Hambal yang telah menulis buku berjudul Al-Musnad. Pengikut-pengikutnya didapati di Arab Saudi, Lubnan dan Syria. Mazhab ini ialah yang paling konservatif.

Keempat-empat mazhab ini juga berbeza dalam banyak segi. Contohnya:

· Mazhab Hanafi dan Maliki menerima amalan sahabat-sahabat Muhammad sebagai asas perundangan Islam mana kala mazhab Shafi’i menolaknya kerana tidak mendapatkan pengesahan Muhammad.

· Mengikut mazhab Maliki, Ijma adalah hak para ulama dan penduduk Madinah sahaja. Mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa setiap ulama yang layak boleh mengambil bahagian dalam Ijma. Sebahagian dari mazhab Hambali sebaliknya berpendapat hanya Ijma empat khalifah yang pertama adalah sah.

· Perbezaan-perbezaan lain termasuk peraturan-peraturan cara menunaikan sembahyang, menguruskan mayat, haram-halalnya makanan, hal-hal perkahwinan, puasa dan pembayaran zakat.

Walaupun berbeza (dan ada masanya bercanggah), kesemua ajaran-ajaran dan amalan-amalan mazhab-mazhab ini diterima sebagai sah dan benar. Seorang Islam Sunni boleh menukar mazhabnya tanpa menjejaskan imannya.

Adakah Keadaan Ini Mencemaskan?

Umat Islam Sunni tidak khuatir dengan perbezaan-perbezaan serta perpecahan yang wujud antara mereka kerana Muhammad pernah mengatakan bahawa perbezaan pendapat (ikhtilaf) merupakan berkat bagi ummahnya. Tanpa interaksi mazhab-mazhab ini, syariah tidak mungkin ditafsirkan dan dihuraikan dengan lengkap.

Untuk orang Islam, kebenaran ialah satu perkara yang mempunyai banyak aspek. Maka tidak hairan wujudnya mazhab yang berbeza hasil dari pandangan yang berbeza. Perbezaan-perbezaan ini dikatakan terhad kepada perkara-perkara kecil (furuat) dan tidak menyentuh usul atau dasar kepercayaan Islam sebenar.

Bagaimana Dengan Mazhab-mazhab Kristian?

Sebenarnya pendapat-pendapat yang baru sahaja dibentangkan di atas tidak jauh bezanya daripada pandangan orang Kristian mengenai mazhab-mazhab mereka. Mazhab-mazhab Kristian biasanya tertubuh kerana keperluan kebudayaan dan bangsa, perbezaan bahasa dan struktur sosial serta pengamalan yang berlainan sesuai dengan keadaan satu-satu masyarakat. Mazhab-mazhab ini tidak berbeza langsung dari akidah-akidah Kristian yang asas dan utama yang termasuk keesaan Allah, keilahian Isa Al-Masih dan kesahihan Alkitab sebagai Firman Allah.

Meskipun begitu, mesti diakui bahawa ada mazhab-mazhab yang walaupun dianggap Kristian oleh pemerhati bukan-Kristian, sebenarnya telah terpesong dari ajaran Isa Al-Masih yang benar contohnya gerakan Saksi Jehovah dan Gereja Mormon. Mereka ini harus dianggap terpesong atau sesat sebagaimana kebanyakan orang Islam menganggap golongan Ahmadiya atau Al-Arqam telah terpesong dan tidak boleh dianggap Islam.

Penelitian yang sewajarnya akan menunjukkan bahawa perbezaan-perbezaan dalam mazhab-mazhab Kristian yang beratusan itu bukanlah dari segi kepercayaan dan penerimaan ajaran-ajaran Isa Al-Masih dan Alkitab tetapi dari segi aplikasinya. Kebebasan mengaplikasikan prinsip-prinsip Allah dari Alkitab sememangnya satu keistimewaan agama Kristian yang sihat dan akan terus diamalkan.

Juga perlu ditegaskan di sini bahawa kehadiran mazhab-mazhab Kristian yang berlainan tidak menjejaskan ajaran-ajaran Isa Al-Masih yang asal. Sesungguhnya ajaran-ajaran beliau boleh diperoleh dengan jelas dan tepat hari ini.

Kesimpulan

Apakah Islam patut diterima sebagai agama benar dari Allah kerana kesatuan dan perpaduan ummah? Saya rasa tidak kerana kesatuan dan perpaduan yang diagungkan itu sebenarnya tidak wujud. Apakah isu banyak mazhab dan perbezaan amalan antara gereja-gereja Kristian patut diterima sebagai alasan untuk menolak ajaran Isa Al-Masih? Saya percaya tidak kerana walaupun terdapat banyak mazhab Kristian, tidak ada banyak Isa Al-Masih apa lagi ajarannya yang hidup dan kekal itu. Dalam Isa Al-Masih ada kesatuan yang benar – kesatuan yang dihasilkan oleh Isa Al-Masih dengan semua orang yang percaya kepadanya.

Keampunannya Dengan Menjawab Azan

Diriwayatkan Siti Zubaidah adalah seorang wanita

bangsawan yang kaya,hobinya suka mendengar muzik.Dia

memiliki pentasnya sendiri serta beberapa orang

penyanyi yang menjadi penghiburnya.Apa yang menjadi

kelebihannya ialah apabila terdengar saja seruan Azan

dia akan segera memerintahkan penyanyi dan permuziknya itu

berhenti untuk seketika bagi menghormati azan.Setelah

selesai dan menjawap azan barulah disambung

semula,hanya itulah amalan yang sentiasa

dijaganya.

Setelah dia meninggal ramai dari kalangan

orang-orang yang soleh telah bermimpi bertemu

dengannya, Tanya mereka, "Ibadah apakah yang

menyebabkan Allah mengampunkan dosamu, adakah kerana

kamu telah menggali sebuah kolam air antara Makkah dan Madinah?"

Jawab Zubaidah, Allah mengampunkan dosaku

dengan banyak mengucapkan syukur.Sebenarnya aku tidak

banyak beribadah kecuali satu semasa hayatku dulu

iaitu apabila terdengar saja Azan sedangkan waktu itu

aku tengah berhibur dan mendengar nyanyian maka dengan

serta merta aku menyuruh mereka memberhentikannya bagi

menghormati seruan azan. Itulah ibadah yang aku

benar-benar menjaganya. Sebagai balasan , Allah

berfirman,"Kamu dilarang menyeksanya, jika tidak

kerana iman yang ada di dalam dadanya masakan ia mahu

menyebutKu dalam Keadaan leka"

JALAN KE SYURGA PENUH DURI ..

Perjalanan ke syurga dilingkungi dengan duri dan onak. Manakala jalan ke neraka dikelilingi dengan keinginan syahwat. Demikian ditegaskan oleh Nabi Muhammad saw. mengenai dua jalan yang ditempuhi oleh manusia.

Syurga ialah tempat kenikmatan dan kebahagiaan di akhirat yang dikurniakan kepada hamba-hamba Allah yang beramal soleh. Neraka pula tempat azab keseksaan disediakan untuk mereka yang beramal tholeh (kejahatan).

Untuk melayakkan diri ke syurga, seseorang itu mestilah menempuh banyak ujian seperti melaksanakan suruhan Allah dan rasul serta menjauhi laranganNya. Kesemua ini memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula dari keimanan kepada Allah. Sudah tentu untuk mengerjakan solat, puasa, haji dan amal kebajikan lain amat payah kecuali bagi mereka yang beriman. Sebab itulah Nabi mengatakan jalan ke syurga penuh dengan kesusahan.

Bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan. Syaitan dan nafsu memang menyuruh kita berbuat kejahatan dan tidak menggalakkan kita melakukan kebajikan. Jika kita turutkan kehendak syaitan sudah tentu kita tidak mampu melakukan sebarang kebajikan.

Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah kerana dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong manusia mengikut hawa nafsu. Amat mudah melakukan kejahatan.

Nah, di depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk diikuti. Tepuk dada dan tanyakan iman - bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu.

Betapa tak susah masuk syurga? Dalam satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang berilmu. Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang beramal semuanya binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan perlu banyak berjuang. Ibarat mendaki bukit yang tinggi, hanya orang yang lasak saja berjaya sampai ke mercu.

Kebahagiaan di dunia belum menjadi pasport untuk ke syurga. Malahan adalah menjadi kesalahan jika kekayaan yang didapati tidak diperolehi dan dibelanjakan secara Islamik.

Semua manusia inginkan hidup senang. Kesenangan di dunia hanya sementara manakala kesenangan akhirat kekal abadi. Orang yang bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki bukan yang bersifat sementara. Hanya orang yang cetek akal saja memilih kesenangan dunia dan mengenepikan kesenangan akhirat.

Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala. Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita mesti mengawas dari serangan penyakit batin seperti ria, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan. Di sini peranan ilmu tasauf yang perlu kita pelajari dan dalami.


Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita. Kalau Allah tak gerakkan kita untuk beramal, kita tak akan beramal. Ini maknanya Allah mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal.

Bagaimana kita mahu mendabik dada tentang amalan kita? Saidina Ali yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh. Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita? Saidina Ali Menggigil mengenangkan bekalan yang sikit untuk perjalanan ke akhirat yang jauh.

Kesimpulannya kita terpaksa mengharung kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat adalah rahmat. Dengan kesusahan ini Allah mengampun dan meninggikan darjat kita. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat. Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan dan cabaran.

Ingat sekali lagi pesanan Nabi saw "Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat." Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke neraka. Wallahu 'Alam. .